Sunday, December 1, 2013

PENYAKIT DAN UBATNYA

بسم الله الرحمٰن الرحيم
Alhamdulillah, Syukur kepada Allah yang telah mengutuskan kepada kita RasulNya Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam bersama wahyu yang menunjuk manusia kepada Islam, dan mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang. 

Dalam Al-Quran, Allah menjelaskan bahawa penyakit itu ada dua jenis; 1) Penyakit Rohani, 2) Penyakit Jasmani. Penyakit rohani dapat disembuhkan dengan menanamkan dalam hati akidah sahihah kepada Allah dan RasulNya.

Adapun untuk menyembuhkan penyakit jasmani, ia turut diajarkan dalam Al-Tibb Al-Nabawi (pengubatan Nabawi), sama ada melalui kaedah pencegahan atau rawatan dari sumber-sumber alami ciptaan Allah.

Allah menguji manusia dengan penyakit dan Allah juga yang mencipta ubat-ubatnya dan Allah-lah juga yang menyembuhkan. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, “Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, melainkan Dia menurunkan juga ubatnya.” 
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 

Juga seperti mana kata Nabi Ibrahim 'alaihissalam yang terkandung di dalam Al-Quran, 

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ
"Dan apabila aku sakit, Dialah Yang Menyembuhkan aku." (Surah Al-Syu'ara: 80)

Sebenarnya, sebelum ilmu-ilmu dan kajian-kajian Sains berkembang, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah lama mengetahui dan menerapkan perubatan yang terbukti kemujarabannya ini, dan sudah tentu ianya dengan bimbingan wahyu.

Ini berdasarkan hadis-hadis sahih yang banyak yang menceritakan bagaimana ia digunakan, dan beribu tahun selepas itu, kajian saintifik pun turut membuktikannya. 

Kami kongsi beberapa jenis makanan anjuran Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sendiri dalam rangka untuk mencegah atau merawati penyakit;

1. Habbatus Sauda’ 


Daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, dia mendengar Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sungguh dalam habbatus sauda’ itu terdapat penyembuh segala penyakit, kecuali as-sam.” Saya bertanya, “Apakah as-sam itu?” Baginda menjawab, “Kematian”.
(Riwayat Al-Bukhari)

2. Madu (عسل)



Firman Allah 'Azza wa Jal, “Dari perut lebah itu keluar cairan dengan pelbagai warna, di dalamnya terdapat kesembuhan bagi manusia.” 
(Surah An-Nahl: 69)

3. Minyak Zaitun


Di dalam Al-Quran, Allah Subhanahu wa Ta'ala secara khusus menyebut bahawa zaitun adalah pohon yang banyak barakahnya. Firman Allah,

"Yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah baratnya, yang minyaknya saja hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api." (Al-Nur: 35)

Sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, 

“Minumlah minyak zaitun dan gunakan sebagai minyak rambut, kerana minyak zaitun dibuat dari pohon yang diberkati.” 
(Riwayat Al-Tirmizi)

Pada tulisan yang akan datang, insyaAllah kami akan membawakan lebih banyak lagi khasiat-khasiat, resipi pengubatan, dan dalil-dalil yang berkaitan dengannya. 

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

No comments:

Post a Comment